Gasing merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi.
Kebiasanya gasing dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.
Gasing diperbuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang. Kayu tersebut akan ditakik-takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk gasing.
Manakala tali gasing pula diperbuat daripada kulit pokok bebaru. Pada masa kini, tali gasing diperbuat daripada tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung kepada panjang tangan seseorang. Kebiasaannya kira-kira 1 meter panjang. Minyak kelapa turut digunakan untuk melicinkan pergerakan tali gasing
************************************************************************************
:: CARA BERMAIN ::
Ada lima langkah utama dalam permainan gasing, iaitu melilit tali, melilit gasing, memusing gasing, memangkah, dan mengangkat gasing.
Melilit tali
• Melilit di lengan
• Melilit di jari kelingking
Melilit gasing
Lilitan gasing akan dibuat pada bahagian leher gasing. Gasing boleh dililit menggunakan dua cara, sama ada dililit pada bahagian lengan dan kemudian dililit pada gasing ataupun melilit tali pada pokok dan kemudian dililit pada gasing.
Memusing gasing
Biasanya pemain gasing mempraktikkan gaya permainan secara pusingan sorong tarik atau pusingan sentap. Bagi pusingan sorong dan tarik, gasing perlu sentiasa berada dalam keadaan mengiring. Pemain akan menumpukan perhatian pada sasaran di hadapan dan badan dibongkokkan kira-kira 45 darjah. Gasing akan diayunkan dan semasa ayunan dibuat, gasing akan ditegakkan. Pusingan secara sentap pula dilakukan untuk menghasilkan pusingan yang ligat. Pemain akan berdiri dalam keadaan tegak dengan tangan yang memegang gasing menghala ke atas. Tangan pemain berada kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Ketika gasing diayunkan, pemain akan menyentap sedikit tali supaya gasing menjadi lebih ligat dan mampu berpusing lama.
Memangkah gasing
Pemain yang ingin memangkah gasing pihak lawan, perlu menumpukan perhatian tepat mengenai sasaran supaya gasing dapat berpusing dengan lama dan menghasilkan uri yang ligat. Terdapat empat gaya ketika memangkah, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang, dan pangkah tebang.
Mengangkat gasing
Gasing akan diangkat ketika masih berpusing. Tujuannya adalah untuk memastikan pusingan gasing dapat bertahan dengan lebih lama. Semasa gasing masih ligat berpusing, pemain akan cuba mengangkat gasing dan memastikan gasing tersebut tidak berhenti ketika diangkat. Sebelum gasing diangkat, pemain terlebih dahulu menentukan liuk gasing. Liuk gasing adalah pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Arah pusingan badan juga perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan gasing. Gasing akan diangkat menggunakan tali dan cokok. Untuk memastikan gasing berpusing ligat, mengangkat gasing perlu dibuat berhati-hati dan gasing perlu berada dalam keadaan tegak serta tali yang digunakan perlu tegang.
****************************************************************************
:: KAEDAH PERMAINAN ::
Gasing dimainkan dua cara, sama ada sebagai gasing uri ataupun gasing pangkah. Gasing uri biasanya dimainkan untuk melihat dan menguji ketahanan gasing berpusing. Pemenang akan diadili berdasarkan jangka masa gasing dapat berpusing. Gasing yang mampu berpusing lama dikira sebagai pemenang pertandingan. Biasanya gasing mampu berpusing lebih daripada satu jam.
Gasing pangkah pula dimainkan untuk mengetuk gasing pihak lawan dan dimainkan oleh dua buah kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada dua hingga lima orang. Sebelum permainan dimulakan, mereka akan beradu kekuatan dahulu. Pertandingan uri akan dibuat untuk memilih kumpulan memangkah dan kumpulan menanti. Gasing kumpulan yang berpusing lebih lama akan menjadi kumpulan memangkah manakala kumpulan yang kedua akan menjadi kumpulan menanti.
Kumpulan memangkah akan memangkah gasing kumpulan menanti. Tujuannya adalah untuk memecahkan gasing pihak lawan atau paling tidak, dapat menghentikan gasing pihak lawan. Tetapi jika gasing kumpulan menanti masih berpusing, jong cokok akan digunakan. Jong cokok diperbuat daripada kayu dan agak leper. Gasing yang masih berpusing akan dicokok ke permukaan jong dan jika gasing pihak menanti lebih lama berpusing, kumpulan memangkah akan bertukar menjadi kumpulan menanti dan begitulah sebaliknya.