**************************************
Congkak merupakan sejenis permainan tradisional Melayu. Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti di mana asal usulnya, samada daripada pengaruh luar yang datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu pada ketika itu. Permainan congkak dipercayai berasal daripada dunia Afrika atau Arab, bergantung kepada teori mana yang anda percayai. Bagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai oleh cari gali purba yang dibiayai oleh Persatuan National Geographic menjumpai kepingan batu kapur yang mempunyai dua liang selari bertarikh kira-kira semenjak 5000 hingga 7000 SM yang dijumpai di Jordan.
Dalam permainan tradisional ini, alatan yang digunakan adalah papan congkak dan buah congkak. Kadang-kala lubang-lubangnya dibuat di atas tanah sebagai ganti papan congkak. Sementara biji-biji congkak pula boleh digunakan daripada guli-guli kaca, buah getah, biji saga, batu-batu kecil dan sebagainya. Setiap papan congkak hanya boleh dimainkan oleh dua orang sahaja. Papan congkak mengandungi 14 lubang yang dipanggil "kampung" manakala dua lubang besar di setiap hujung papan congkak dipanggil "rumah". Panjang papan congkak bagi tujuh lubang biasanya sekitar 80 cm dan lebarnya, 18 cm. Papan congkak lazimnya diperbuat daripada kayu hutan seperti merbau, keruing, balau dan sebagainya. Terdapat juga papan congkak yang dibuat dari kayu rambutan, nangka dan sebagainya, mengikut kemampuan si tukang pembuat congkak.
**************************************
**************************************
:: PERATURAN PERMAINAN ::
Cara-cara bermain permainan ini ialah dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak dan kedua-dua pemain akan mula bermain dengan serentak. Setiap “kampung” perlu mempunyai tujuh biji guli. Mereka akan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri sehingga ke lubang rumah. Permainan diteruskan sehingga memasuki lubang kampung lawan jika di tangan pemain masih terdapat biji guli. Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan pemain dimasukkan dalam kampung yang kosong sama ada di kawasan sendiri atau di kawasan lawan dan pemain hendaklah berhenti. Sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri, pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut. Pihak lawan meneruskan permainan sehingga buahnya mati (seperti keadaan lawan tadi). Sebaliknya, sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati. Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.
**************************************